Saturday, 18 February 2017

Apa itu Essential Oil?

Credit: https://liveto110.com/top-5-uses-for-my-favorite-essential-oils/


s·sen·tial oil- /əˈsen(t)SHəl oil/
noun1. a natural oil typically obtained by distillation and having the characteristic fragrance of the plant or other source from which it is extracted.

===========================================

            Essential oil (eo) atau dalam Bahasa Melayunya, minyak pati tumbuhan merupakan bahan mudah meruap daripada bahagian tumbuhan yang beraroma (bunga,daun, kulit, batang dan akar). Minyak pati ialah minyak yang ditemui didalam kantung  sel  tumbuhan. Minyak ini boleh dibebaskan daripada daun dan bahagian lain dan diekstrak menggunakan beberapa kaedah seperti penyulingan hidro. Minyak ini juga dikenali sebagai minyak meruap (volatile oils), minyak angin (ethereal oils), atau minyak pati (essential oils) kerana sifat mudah meresap /cair pada suhu hangat (ambien). Walau bagaimanapun, minyak pati lebih digemari disebabkan “kepatiannya” atau memiliki juzuk bauan dari tumbuh-tumbuhan ia mewakili.

            EO juga sangat sesuai digunakan untuk urutan dan bau-bauan. Minyak pati ini menghasilkan aroma yang unik apabila diramas atau disiat dan juga boleh terbentuk bersama resin/damar: oleo resin. Minyak pati juga selalu dianggap sebagai bahan buangan metabolisma tumbuhan.

          Minyak pati pada kebiasaannya tidak berwarna, terutama apabila ia segar. Walau bagaimanapun dengan perubahan masa, minyak pati mula beroksida dan berubah struktur semulajadi (resinify), menyebabkan warna menjadi lebih gelap. kerana itu, minyak-pati perlu disimpan di tempat yang sejuk, kering, diikat ketat dan se baik-baiknya diisi didalam bekas kaca gelap. Minyak  pati dihasilkan untuk  kegunaan industri  minyak wangi dan sejumlahnya digunakan untuk perisa makanan pembungkusan. Selain itu, minyak pati juga dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan yang tinggi.   

            Minyak pati ini digunakan secara meluas dalam aromaterapi dan perubatan tradisional. Manfaat yang banyak dalam minyak pati ini menyebabkan masyarakat tertarik dan meneroka secar asaintifik untuk merawat pelbagai jenis penyakit seperti kanser, HIV, asma, bronkitis, strok jantung, dan banyak lagi.

            Terdapat lebih daripada 90 minyak pati, dan masing-masing mempunyai manfaat kesihatan sendiri. Campuran minyak pati dengan minyak pati lain dari segi fungsi dan bau, membolehkan pakar herba untuk menyediakan gabungan minyak pati aromatik.

Contoh minyak pati :-
Lavender, Tea tree, Mint, Eucalyptus, Cinnamon, Ginger, Jasmine, Orange, Lemon, Lemongrass(serai), Patchouly, Vetiver, Sandalwood (cendana), Ylang-ylang (kenanga), Citronella, Cedarwood, Marjoram, Geranium, Rose Geranium dan Agarwood/gaharu.


Rujukan:

http://herbadantumbuhan.blogspot.my/2012/02/mengenal-asas-proses-penyulingan.html

Wednesday, 28 December 2016

| surat kepada Tuhan |

Dalam renyai hujan,
Pagi Sabtu yang mendamaikan.

Sudah banyak warkah yang aku tulis kepada Tuhan. Sudah banyak cerita yang aku karang kepada al-Khaliq. Aku tahu Dia tak pernah jemu. Dan aku tahu surat-surat aku sampai kepada-Nya. Hari ini, aku menulis lagi dalam lembaran ini.
Tuhan Yang Maha Penyayang—yang selalu ada disisi dan hati-hati manusia beriman; Terima kasih untuk nafas yang aku hirup, nadi yang masih berdenyut dan jantung yang masih berdegup hari ini. Aku buka mata nampak terang sebuah kehidupan. Aku pasang telinga terdengar rintik hujan yang mendinginkan. Terima kasih Tuhan, kerana sentiasa ada bersamaku. Sentiasa hampir dan tidak pernah menjauh. Kau selalu ada walau aku busuk dengan dosa, kotor dengan noda. Kau tidak pernah tinggal aku sendiri. Terima kasih.
Tuhan Yang Maha Pengampun—yang selalu membentangkan seluasnya cinta pada malam hari, menanti sabar hamba-hambaNya bermunajat cinta dalam gelap malam; Ampunkan aku ya Tuhan. Dosa-dosa aku tak terkira banyaknya. Salah-khilafku tak terhitung semuanya. Aku penuh dengan calar hitam. Aku berselubung dalam kegelapan yang menyesakkan. Tarik aku Tuhan. Tuntun aku kepada nur-Mu. Tunjukkan aku jalan yang lurus. Biar aku mampu berjalan sendiri. Menjejak cinta-cintaMu ya Rabb.
Tuhan ya Rahman ya Rahim—pemilik kasih sealam semesta yang teguh dengan janji-janjiNya; Sekali lagi aku mohon keampunan dan kemaafan. Seringkali aku lari bila diuji. Seringkali aku menyisih tatkala dibebani teguran-Mu. Aku lemah wahai Tuhan. Ujian-Mu aku rasakan sangat berat dan menyakitkan. Tidak terdaya untuk aku menanggungnya. Pernah aku ingin lari sejauhnya dari takdir-Mu dan meninggalkan semua rencana yang telah Engkau firmankan kepadaku. Aku lemah ya Tuhan. Ampuni aku kerana pernah kesal dengan-Mu, ampuni aku kerana terlalu lemah dan lambat bangkit menyambut cintaMu. Masih segar dalam ingatan, aku pernah bertanyakan takdir "kenapa aku?", pernah juga aku persoalkan, "kenapa pilih aku untuk lalui kisah-kisah ini? Kenapa kirim duka yg melukakan?". Bertubi-tubi aku asak dengan pertanyaan. Aku sebenarnya lupa. Lupa yang Tuhan berkuasa utk menyembuhkan. Lupa yang luka Tuhan kirim itu bakal Tuhan rawat dengan kasih-Nya. Aku lupa janji dalam kalam Tuhan yakni "sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” Aku lupa semua itu.
Tuhan Yang Maha Esa—yang satu-satunya ada, tiada awal dan akhir; Izinkan aku untuk terus menulis warkah-warkah rinduku kepada-Mu. Izinkan aku untuk terus kekal dalam lorong kecil ini, mengemis dan menagih cinta-Mu. Izinkan aku Tuhan, bersua dengan-Mu dengan sebenar-benar redha.

Sembah sujudku hanya untuk-Mu,
Hamba hina dan dina,
Lewat Disember 2016.

| surat untuk masa hadapan |


Ke hadapan hari esok, 
Kau masih menjadi harapan. Kau masih kabur tak terkelihatan. Kau berlari dalam angan. Kau menerawang dalam ruang mimpi. Kau sedang jauh. Terlalu jauh. Takut tak tergapai, risau tak tercapai. 
Duhai masa hadapan, 
Walau kau masih kelam, aku percaya kau tidak akan selalu suram. Tautan janji-janji kau dengan masa lalu masih utuh terikat. Tidak pecah berderai, tidak musnah ditelan waktu.
Masihkah kau ingat? 
Duhai masa hadapan, 
Banyak kata cinta yang aku karang, banyak kata harap yang aku garap. Moga kau tidak lenyapkan ia menjadi debu-debu harapan. Moga kau tidak bunuh ia menjadi jasad tak berpusara.
Hari-hari esok, 
Kau gembirakanlah lelaki renta ini. Biar hatinya bernyanyi riang. Biar jiwanya menari girang. Biar bibirnya tak berhenti ukir senyum. Jangan biar tubir matanya basah kecewa. Jangan biar hatinya sakit menahan pedih.

Tulus ikhlas, 
Aku hari ini, 
Dis 22, 2016.


| surat kepada masa lalu |

Aku,
Di suatu sudut kehidupan.
Dis 21, 2016.
Duhai masa lalu,
Kau tahu aku rindu? Rindu menjadi aku yang dulu. Banyak tawa kurang duka. Selalu gembira ceria melewati hari. Tidak banyak kisah duka yang menjengah ruang kehidupanku. Aku gembira saja. Tersenyum girang melakar mimpi. Berlari dan berkejaran menjejak angan. Sungguh, aku rindu.
Duhai masa lalu,
Kau tahu kau sentiasa di ingatan? Kisah semalam sentiasa menggamit memori. Cerita kelmarin selalu mekar berkembang. Hari-hari yang pernah aku lalui segar menjadi kenangan. Kau mengajar aku banyak perkara. Kau beri aku rasa bahagia. Kau tinggalkan aku dengan momen-momen manis yang tak pernah hilang rasanya sehingga hari ini.
Duhai masa lalu, Kau tahu aku takkan pernah lupa? Manis yang kau kirim untuk masa hadapan akan selalu aku simpan. Akan tiba masanya nanti, aku akan hulur kepada masa hadapan. Kataku "ini hadiah buatmu daripada masa lalu". Aku sangat yakin, masa hadapan akan menangis terharu. Berterima kasih yg tidak terhingga kepadamu wahai masa lalu.
Duhai masa lalu, Aku ingin pamit. Jangan kau risau, jangan kau gusar. Kau sentiasa ada denganku. Tidak ada sekelumit pun rasa jemu aku terhadapmu. Sudahku khabarkan kepada masa hadapan, kau dan aku adalah satu. Tidak ada yang bisa melempar kau jauh dari aku.
Tulus dan ikhlas,
Aku, hari ini.

Tuesday, 6 September 2016

[Kuat]

kepada kau yg sedang diuji
dengan lelahnya rasa
bersabarlah

kepada kau yg sedang menahan sakit
ditusuk tajamnya hasad manusia
bertabahlah

kepada kau yg sedang gundah
diasak sulitnya kehidupan
senyumlah

wahai hati-hati yang sedang rapuh
disentuh lembut menjadi pecah
kau harus kuat

andai ada jiwamu yg jatuh berderai
kutiplah ia kembali
letakkan pada tempatnya

Tuhan tahu kau kuat
Tuhan tahu kau mampu

duhai hati-hati yang sedang berduka lara
dihimpit pahit dinding kehidupan
kau perlu bangkit
melawan sakitnya terhimpit
dengan senyuman yg tiada tara 

kau harus simpan rapi dalam lipatan ingatan
dalam lebatnya hujan
Allah turunkan rahmat
dalam garangnya kilat
Allah kurnia warna ceria disebalik awan

2324
06092016
Kuala Lumpur

Thursday, 1 September 2016

| Aku dan Hujan |



Aku menulis ini di penjuru ruang sebuah kehidupan. Aku biar tingkap terbuka agar aku bisa menikmati ritma hujan di luar sana. Rintik dingin menyapa ringan tubuhku. Sesekali aku lihat ke luar jendela. Hujan sedang kuat menghempap tanah. Guruh dan kilat saling bersaing. Menunjuk lagak.

Hujan seringkali menenangkan aku. Dingin hujan selalu membelai jiwaku. Aku tenang dalam senang. Walau rintik-rintiknya kadangkala membasahi aku, aku senang. Walau dinginnya seringkali membuat aku menggigil, aku tetap senang. Sesulit mana hujan membuatmu resah, aku tetap senang dengannya.

Hujan mengajar aku tentang rindu. Hujan mengajar aku tentang cinta. Hujan mengajar aku tentang hidup. Hujan mengajar aku tentang bahagia. Dan hujan juga seringkali mengingatkan aku tentang Tuhan. Adanya kuasa yang menggerakkan hujan. Adanya kuasa yg sedang mengawal alam semesta.

Kau tahu,
Melodi yang hujan bawa ini sungguh menenangkan. Membuai aku ke dalam dimensi lain. Aku keasyikan. Aku menjadi lupa. Lupa akan sakit yang ada, lupa akan perit yg dirasa, lupa segala.

Aku bersandar ke dinding hidup. Pejam mata buka hati. Aku masih bisa menangkap nyanyian hujan. Walau makin perlahan rentaknya, aku masih bisa menghayati bait indah dentingannya. Aku tarik nafas sedalamnya. Aku hirup kuat bauannya. Segar mewangi. Lalu aku buka mata, melihat lagi ke luar jendela. Rintik kasar tadi makin hilang. Ada lopak-lopak kecil pada tanah sepeninggal hujan. Hujan sudah pergi. Namun masih ada bulir-bulir halus di dedaunan, mengalir perlahan jatuh ke tanah. Sesekali angin datang, cairan itu terpercik deras.

Catatan aku dan hujan.
Moga ada hujan hari esok untuk aku nukil kisah kita dan hujan.

Ba'da Asr
Kuala Lumpur
Sept 1,2016.

Thursday, 30 June 2016

| Catatan 25 Ramadan |

Ramadan. Bulan penuh keberkatan, punya rahmat dan maghfirah. Ramadan bulan tarbiyah. Mendidik hati mengajar jiwa. Tahan diri tahan rasa. Tetap teguh walau jasad sedikit lemah.

Ramadan, padanya tersimpan seribu satu rahsia. Punya mehnah yang mendidik hati, ada tribulasi yang mengetuk kalbu. Mengelar rasa sabar, menghiris rasa tabah. Namun, kerana hati sudah pasak pada yang satu, Ramadan dirai penuh kasih penuh cinta.

Ramadan bersisa sudah tidak lama. Pejam celik, Ramadan akan melambai pergi. Rasa berTuhan kita sepanjang Ramadan jangan dilepas pergi.Ikat kuat di hati, hari demi hari tambah rasa iman itu. Biar lebih jangan kurang, senang dibekal ke alam sana. Ramadan pergi tidak lama. Kelak kembali bertemu andai jasad tidak dikambus tanah.Lantun doa, lempar harapan. Allah Maha Mendengar.

*********

Selalulah percaya kepada Tuhan. Tuhan sentiasa ada. Melihat dan mendengar. Dia Maha Mengetahui. Doa-doa kita ada denganNya. Menunggu masa yang tepat untuk dikabulkan. Allah punya rencana yang lebih baik daripada apa yang kita rancangkan. Terus sematkan rasa percaya kepada Tuhan. Bersangka baiklah denganNya. Kelak Dia buka jalan, melurus apa yang bengkok, memudahkan apa yang sukar.

Kata seorang teman " Kita redha dengan apa yang tiada, sentiasa bersyukur dengan apa yang ada."

Weny,
Manusia yang sedang me'rasa' nikmat Ramadan.
Jun 30, 2016. Kota Metropolitan.